BLOG

 

        Tokoh yang dipilih untuk slot Biografi pada kali ini adalah Tuan Guru Hj Ahmad Bin Hj Md Kasim Al-Malakawi, seorang ulama' yang berasal dari Paya Rumput, Melaka. Beliau juga merupakan ayahanda kepada Allahyarham Datuk Hj Nawawi Bin Hj Ahmad, sumber podcaster bagi laman web ini. 

 

 

 

 

KELAHIRAN

 

        Tuan Guru Hj Ahmad Bin Hj Md Kasim dilahirkan pada tahun 1901 di Jelebu, Negeri Sembilan. Ayahandanya merupakan salah seorang anggota polis yang berpangkat Sarjan Mejar pada ketika itu. Ibunya pula telah meninggal dunia ketika beliau hanya berusia 6 bulan. Atas faktor kehilangan tersebut, beliau telah disusui oleh orang lain di Jelebu. Selain mempunyai 3 beradik seibu sebapa dan saudara susuan, beliau juga memiliki 4 orang adik beradik sebapa berlainan ibu, hasil perkahwinan semula ayahandanya setelah bersara dari jawatan polis, dan sekembalinya mereka ke tempat asal mereka iaitu Kampung Paya Rumput, Melaka. 

 

 

PENDIDIKAN

 

        Tuan Guru Hj Ahmad Bin Hj Md Kasim mendapat pendidikan seawal usia 5 tahun dari ayahandanya sendiri yang juga merupakan seorang imam yang sangat mahir dalam ilmu agama dan pengajian Al-Quran. Beliau telah dihantar ke Sekolah Melayu Paya Rumput ketika berusia 7 tahun sehinggalah tamat pengajian pada umur 13 tahun. Menunjukkan minat yang sangat tinggi dalam mempelajari ilmu agama, beliau tidak melepaskan peluang untuk berguru dengan tokoh terkenal tempatan ketika itu iaitu Tok Guru Hj Mad Ali dari Sungai Udang, Melaka sebelum berlepas ke Palembang, Indonesia pada tahun 1915 untuk berguru dengan seorang lagi ulama' terkenal di sana iaitu Hj Md. Mukhtar Palembang. Pada tahun 1919, beliau pulang ke Paya Rumput setelah menamatkan pengajiannya. Merasakan tidak cukup dengan ilmu yang diperolehi dan didorong oleh minat yang mendalam, beliau berhasrat untuk meneruskan pengajiannya di Mekah, Arab Saudi. Pada awalnya ia tidak dipersetujui oleh ayahandanya, namun melihatkan keazamannya yang tinggi untuk menuntut ilmu, ayahandanya telah membenarkannya. Maka merantaulah beliau ke Mekah pada tahun 1919. Selama hampir 12 tahun di Mekah, beliau menyara hidupnya dengan bekerja sebagai tukang jahit. Ianya mencukupi untuk membolehkan beliau berguru dengan ulama' besar di sana sama ada di rumah mereka atau di Masjidil Haram. Antara guru-gurunya ialah: 

 

  • Syekh Muhammad Mukhtar Atharid Al-Bughuri
  • Syekh Muhammad Jamal Al-Maliki
  • Syekh Abbas Al-Maliki
  • Syekh Ahmad Al-Khattib Al-Minangkabawi
  • Syekh Ahmad Zaini Dahlan
  • Syekh Umar Hamdan
  • Syekh Ihya Bugur
  • Syekh Muhammad Amin Al-Kutubi dan banyak lagi

 

        Kematangan dan kedalaman ilmu agamanya tidak dapat dipertikaikan dan ianya terbukti apabila beliau dijadikan guru oleh sebahagian penduduk Mekah dan mereka yang datang dari Malaysia. Kemahsyuran namanya ketika berada di Mekah menjadi sebutan dan kepulangnya ke tanah air pada tahun 1931 amat ditunggu-tunggu oleh masyarakat Melaka.

 

 

SEKOLAH PONDOK

 

        Sekolah pondok yang diasaskan oleh Tuan Guru Hj Ahmad Bin Hj Md Kasim menetapkan tempoh masa pembelajaran antara 3 hingga 5 tahun dan mempunyai sukatan matapelajarannya yang tersendiri menggunakan Bahasa Arab dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.  Berikut merupakan subjek dan kitab yang digunakan di sekolah pondok tersebut:

 

  • Tauhid - Kitab Bidayah Al-Hidayah, Matan Al-Sanusiyah dan sebagainya
  • Feqah - Kitab Fath Al-Qarib, Baijuri, Al-Iqna, Al-Irshad, Riyadah Al-Salihin, Subl Al-Salam, Bulugh Al-Muram dan sebagainya
  • Tasawuf - Kitab Ihya’Ulum Al-Din, Minhaj Al-Abidin, Hidayah Al-Salikin dan sebagainya
  • Mantik - Kitab Sharh Al-Salma

  • Tafsir dan Hadis - Kitab Tafsir Al-Jalalain, Tafsir Al-Maraghi, Sunan Al-Sittah dan sebagainya.

  • Nahu Saraf dan Balaghah - Kitab Al-Muqaddimah Al-Jurumiah, Matan Al-Jurumiah, Sharh Ibn Aqil, Sharh Al-Fiyah, Muktasar Al-Maani, al-Balaghah Al-Wadihah, Al-Maqsur dan sebagainya

 

    Beliau amat mengutamakan pengajaran al-Quran, dimana setiap murid dikehendaki bukan sahaja boleh membaca dengan lancar, tetapi mesti menguasai tajwid dengan sebaik-baiknya. Beliau juga mengutamakan lagu yang baik.

 

    Tuan Guru Hj Ahmad Bin Hj Md Kasim telah meninggal dunia pada 11 Mei 1943 ketika berusia 42 tahun. Sepeninggalan beliau, pengajaran di pondok tersebut diteruskan oleh murid-murid beliau yang kanan yang terus menabur jasa dan bakti dalam penyebaran Islam di Melaka. Sehingga kini dianggarkan pondok tersebut telahpun mengeluarkan seramai 1,700 orang pelajar.

 

 

Lokasi Surau Tuan Guru Haji Ahmad yang terletak di Paya Rumput, Melaka

 

 

Untuk makluman, kisah dan sumbangan Tuan Guru Hj Ahmad Bin Hj Md Kasim pernah diterbitkan bersama dengan beberapa kisah tokoh ulama terkenal seperti Tok Kenali, Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin dan lain-lain lagi. Berikut merupakan butiran buku tersebut:

 

Tajuk: Ulama Silam Dalam Kenangan

Tahun Terbitan: 1992

Penulis: Ismail Mat

Penerbit: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

 

 

 

Sumber:

FB Jejak Ulama Nusantara Official

FB Sejarah Ulama Melaka